Kini kian pulih walau barah nasofaringeal di tahap 4A dan telah merebak
Bermula dengan merasa telinga tersumbat selama beberapa bulan, seorang pemandu logistik, Encik Muhammad Akhbar Mohamed Jailani, 36 tahun, bapa tiga anak kemudian mendapat tahu beliau menghidap barah nasofarinks (hidung).
Ketika itu, isterinya, Cik Aidah Lee, 34 tahun, sedang hamil anak keempat. Pada mulanya, beliau menyangka ia hanya disebabkan oleh “panas dalam” dan tidak mendapatkan rawatan segera.
Namun, apabila gejala tersebut berlarutan selama enam bulan, beliau mendapatkan rawatan di poliklinik, yang kemudian merujuknya kepada pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) untuk pemeriksaan lanjut.
Hasil biopsi dan imbasan mendedahkan berita yang mengejutkan – beliau disahkan menghidap barah nasofaringeal (NPC) tahap 4A yang telah merebak ke nodus limfa pada November 2023.
“Apabila diberitahu oleh doktor kemungkinan ini barah, tentulah bermacammacam yang saya fikirkan – apatah lagi saya seorang saja yang bekerja dan mencari nafkah.
“Isteri saya pada waktu itu yang juga menemani saya berasa sedih dan terkejut, tetapi dia mungkin menyembunyikan emosinya,” kata Encik Akhbar yang dibelenggu dengan pelbagai senario sekiranya barah itu tidak dapat dilawannya.
Bertekad untuk menentang penyakit ini, Encik Akhbar memulakan enam sesi kemoterapi di Hospital Universiti Nasional (NUH).
Rawatan itu memberi kesan yang sangat besar terhadap dirinya, menyebabkan beliau mengalami keletihan melampau, keguguran rambut, loya dan vertigo.
Pada mulanya, beliau cuba menyembunyikan penyakitnya daripada anak-anak, tetapi apabila keadaannya semakin merosot, beliau terpaksa menjelaskan keadaan sebenar kepada mereka.
“Anak sulung saya yang berusia 11 tahun paling terkesan kerana mengaitkan barah dengan kematian – sesuatu yang sering dilihatnya dalam rancangan televisyen,” tambah beliau.
Untuk menenangkan mereka, Encik Akhbar dan isterinya menjelaskan bahawa barah bukanlah hukuman mati dan rawatannya berjalan dengan baik.
Selepas menamatkan kemoterapi, beliau memerlukan rawatan radiasi.
“Saya diberi dua pilihan, iaitu terapi radiasi konvensional atau terapi proton, yang mempunyai kesan sampingan jangka Panjang yang lebih rendah.
Setelah berbincang dengan keluarga, beliau memilih terapi proton di Pusat Terapi Proton Goh Cheng Liang (GCLPTC) di Pusat Barah Nasional Singapura (NCCS).
Penolong Klinikal, Profesor Kiattisa Sommat, yang juga Perunding Kanan, Bahagian Onkologi Radiasi, NCCS, memberi penjelasan terapi proton dipilih untuk rawatan alternatif bagi Encik Akhbar kerana ia mengurangkan pendedahan keseluruhan organ dan struktur utama dalam Kawasan kepala dan leher kepada radiasi berbanding radioterapi berasas x-ray.
“Walaupun terapi proton mempunyai kesan sampingan yang serupa dengan radioterapi konvensional, insiden dan keterukan kesan sampingan berkaitannya dijangka lebih rendah dengan proton terapi kerana jumlah radiasi yang lebih rendah digunakan.
“Oleh itu, pesakit mengalami peningkatan mutu hidup keseluruhan semasa dan selepas rawatan,” kata Profesor Sommat.
April merupakan Bulan Kesedaran Barah Nasofaringeal dan penyakit itu menjejas lebih ramai lelaki berbanding wanita.
Menurut SingHealth, NPC adalah penyebab kematian barah ke-10 yang kerap dihidapi lelaki dalam lingkungan usia 30 tahun dan 49 tahun di Singapura.
Pada Februari 2024, Encik Akhbar memulakan 33 sesi terapi proton, menghadapi kesan sampingan seperti sakit tekak dan rasa terbakar pada leher, yang akhirnya berkurangan selepas rawatan tamat.
Selain cabaran fizikal, Encik Akhbar turut diuji dari sudut emosi dan kewangan.
Beliau risau tidak dapat menyara keluarganya, namun bersyukur kerana insurans menampung sebahagian besar kos rawatannya.
Walaupun begitu, kekuatan sebenar beliau datang daripada keluarganya.
Isterinya menjadi sumber kekuatan utama, menjaga beliau dengan penuh kasih saying sambil menguruskan bayi mereka yang baru lahir dan tugasan rumah tangga.
Ibunya turut membantu menjaga anakanak mereka, dan meskipun mereka masih kecil, anak-anaknya turut meringankan beban dengan melakukan kerja rumah serta memberi kata-kata semangat kepada beliau.
Kini dalam keadaan semakin pulih, Encik Akhbar bersyukur atas sokongan tanpa henti daripada keluarganya serta pasukan perubatan di NCCS.
Mengimbas kembali perjalanannya, Encik Akhbar berharap kisahnya dapat memberi inspirasi kepada pesakit lain yang sedang berjuang melawan barah.
“Anda tidak bersendirian dalam perjuangan ini. Dengan ketabahan, kemajuan perubatan dan sokongan keluarga, sentiasa ada harapan untuk sembuh... insya-Allah,” katanya.
Keep Healthy With
© 2025 SingHealth Group. All Rights Reserved.