Penyelidikan antarabangsa cari penawar barah kepala and leher
Berita Harian
15 January 2009
Local News, Page 4
PUSAT Barah Nasional Singapura (NCCS) akan menjalankan satu penyelidikan saintifik di peringkat antarabangsa untuk mencari penawar baru bagi merawat barah kepala dan leher.
NCCS akan bekerjasama dengan Innogene Kalbiotech Pte Ltd, sebuah syarikat berpangkalan di Singapura, dalam ujian klinikal itu.
Pengarah NCCS, Profesor Soo Khee Chee, berkata ujian tersebut akan melibatkan lebih 700 pesakit, berbanding purata 200 pesakit yang dilaporkan menghidapi barah kepala dan leher setiap tahun.
Projek tersebut melibatkan ubat terapi baru Nimotuzumab dan dijangka dimulakan Mac ini.
'Kami berharap ujian terhadap kumpulan pesakit yang lebih besar ini akan meningkatkan daya tahan pesakit daripada barah yang agresif ini,' katanya.
Menurut Profesor Soo, separuh daripada bilangan pesakit dalam ujian tersebut akan diberi Nimotuzumab setiap minggu selama lapan minggu, di samping rawatan biasa kemoterapi dan radioterapi.
'Kemujaraban Nimotuzumab kemungkinan setanding dengan ubat dalam kelas yang sama. Tetapi kelainan Nimotuzumab ialah paras toksiknya lebih rendah dan tahap keselamatannya lebih tinggi,' ujar pengarah Innogene Kalbiotech, Dr Rikrik Ilyas.
Berhubung dengan pemilihan Singapura sebagai peneraju projek kajian itu, Profesor Soo berkata ia kerana lokasi Singapura yang mudah didatangi dari setiap pelosok dunia.
'Kami juga lengkap dengan sistem pengangkutan yang cekap, teknologi dan infrastruktur perubatan yang membuat pengalaman pesakit lebih selamat dan selesa,' tambah beliau.
Para pesakit yang ingin menyertai ujian klinikal itu harus berunding dengan pakar perubatan mereka terlebih dahulu.